Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Thursday, July 22, 2010

Dearest mommy to be


Make Love Letters at WiddlyTinks.com

Peringatan buat isteri

Sempurnanya ALLAH mengatur perjalanan hidup manusia, dikurniakannya nikmat dan rahmat yang berterusan pada kita dalam setiap tahap kehidupan. Namun bersama dengan setiap anugerah ALLAH itu, datang ujian dan tanggungjawab yang berat. Salah satu anugerah ALLAH yang sangat berharga dalam kehidupan manusia ialah kurniaan suami dan pernikahan.

Suami adalah manusia biasa, bukan malaikat, juga berjuang dengan fitrahnya yang sentiasa ingin mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan fikiran dan perasaannya yang unik sebagai lelaki, yang semestinya berbeza dari minda dan jiwa seorang perempuan, seorang suami yang mengenal hakikat kehidupan akan berusaha memberi yang terbaik kepada perempuan yang sangat dekat dalam hidupnya, yang bernama isteri.

Dengan kelebihan fizikalnya, suami menjadi pelindung dan peneguh kepada isteri yang juga berjuang mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan kekuatan ilmu dan iman, seorang suami mampu menjadi pembimbing, penasihat dan teman terbaik pada isteri. Seorang suami juga bertanggungjawab mengetuai perancangan dan aturan masa depan keluarganya dengan membuat keputusan – keputusan penting untuk kebahagiaan dan keberkesanan keluarga yang dibina, tentunya ini dengan bantuan isteri yang menjadi pendorong utamanya.

Namun realiti waktu kini memaparkan sukarnya mencari lelaki yang mampu menjadi teman terbaik. Umpama mencari sebutir permata di kawasan pasir putih yang saujana mata memandang. Saudara muslimah di sana sini ada yang sering bersedih kerana keadaan suaminya yang nampak macho dan gagah, namun kurang rajin dan tidak produktif dengan tanggunggjawab kerja di luar rumah, juga tidak membantu kepenatan isteri mengurus rumahtangga. Jika pun tidak membantu kerja-kerja rumah, bantulah menghibur emosi isteri dengan pujian dan penghargaan. Jua kata-kata cinta yang menenangkan.

Kerap juga didengari, suami yang diharapkan berkongsi ilmu, sering tersasar dengan perbuatan yang tidak bermanfaat, yang mengundang duka di jiwa isteri. Suami yang diharapkan berkongsi kekuatan iman, rupanya sering lalai menunaikan solat dan tidak berminat mendalami agama, sedangkan jiwa isteri memutik rasa untuk mendalami agama Allah dan RasulNya. Isteri jua makan hati dengan akhlak suami yang kasar dan tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.

Tika ini, di waktu hati seorang isteri berasa tawar dan berpasir menghadapi kekurangan suami, di manakah kekuatan kita untuk meletakkan suami sebagai teman terbaik? Teman yang menjadi wasilah meraih syurga...?

Wahai saudara muslimahku, ayuh saya peringatkan diri ini dan kalian, tidak akan sekali-kali diri kita sebagai isteri mampu mengecap kebahagiaan sebenar berteman suami seandainya ALLAH dan Rasul tidak menjadi panduan terbaik. Andainya Al Quran dan As-Sunnah jauh dan bukan kecintaan kita, kegembiraan bersuami terasa hambar dan sebentar cuma.

Ayuh kita memhusabah dan memperbaiki diri, andai diri ini berkeperibadian seorang isteri yang baik, pasti kita juga ada ruang untuk mengaurakan kekuatan untuk suami menjadi suami yang terbaik, dengan izin ALLAH pastinya.

“ Saya tak biasa, saya sibuk dan tak ada masa untuk membaca dan mentadabbur Al Quran..”

“ Saya tidak ada kitab-kitab hadis, saya bukan ustazah nak baca hadis, saya tak mampu beli buku-buku agama..”

"Saya tak 'alim, saya bukan orang yang baik-baik macam isteri si fulan,.."

Wahai diriku dan saudaraku, kita memperuntukkan masa untuk berhias, membelek wajah dan tubuh, mengemas rumah, memasak, membersihkan diri dan anak-anak, maka peruntukkanlah masa juga untuk menghidupkan iman di hati dengan tilawah dan tadabbur [merenung] ayat-ayat Al Quran, dan masa untuk menikmati manisnya hidangan Islam melalui hadis-hadisnya.

Dalam kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga, peruntukkanlah masa untuk belajar dan terus belajar tentang agama ALLAH yang memberi makna pada kehidupan sementara kita di dunia. Kita akan serabut melalui kehidupan dengan ilmu yang sedikit, kita menzalimi diri jika tidak berniat untuk menjadi isteri yang berilmu.

Carilah jua masa, ruang dan kesempatan untuk kita belajar menghias diri dengan akhlak mulia dan personaliti yang mampu memberi sumber kekuatan pada suami.

Kita merasa lelah berusaha melayan suami dengan terbaik, menjadi teman bersembang, melayan makan minum, menghibur di kamar, menjaga zuriat dan rumahtangganya, namun kebahagiaan kudus tidak hadir sama sekali..?

Kerana kita sedang menukar kebahagiaan pernikahan dengan kesedihan berpanjangan, bilamana ALLAH dan Rasul masih tidak menjadi cinta, matlamat dan rujukan utama hidup ini.

Bila telah mengenal ALLAH dan Rasul, redha menjalani syariatNya, bermujadah mentaatiNya, ketika itulah hati seorang isteri mampu menjadikan suaminya teman terbaik.

Nurani seorang muslimah yang ikhlas kerana ALLAH dan mengenal ALLAH sebagai harapan dan cita-cita utamanya, akan mampu mencintai dan mentaati suaminya dalam keadaan berat dan ringan, dalam keadaan suka dan duka.

Seorang isteri beriman sangat lapang dan berbesar hati berdamping dengan suaminya, dalam apa jua ujian dan cabaran berumahtangga. Dia menjadi cermin utama yang membantu suami memperbaiki diri menjadi lebih baik.Dia mendorong kebaikan suami, maka suami terus istiqamah memimpin diri dan keluarga ke jalan ALLAH. Dia menjadi pakaian yang melindungi kekurangan dan kesilapan suami, hingga suami yakin dan opitimis menjalani liku kehidupan yang semakin menggugat.

Dengan ilmu dan keimanannya, seorang isteri menjadi peneguh hati seorang suami. Dia bukan sekadar menghargai suami dalam diam, namun membuatkan suami benar-benar terasa dihargai dan difahami. Isteri yang bijak akan meraikan perbezaan suami sebagai seorang lelaki dan memahami karakter sendiri sebagai perempuan hingga apa jua pertimbangan berkaitan rumahtangga tidak semberono mengikut tindakan jua perasaan yang melulu.

Isteri menjadi teman terbaik tatkala dia berilmu untuk memimpin rumahtangga dan anak-anak dan dia juga bersedia membantu kepimpinan suami. Dia menjadi penasihat dan pengkritik yang berhikmah. Dia memberi idea yang bernas dan matang. Dan sesungguhnya kematangan yang sebenar adalah kematangan yang bersumber ilmu, iman dan ketaqwaan.

Bila suami menjadi teman yang terbaik, suami itulah yang mendapat tempat utama dalam doa, perhatian dan tumpuan isteri yang sejati. Kerana isteri mampu melihat syurga dalam setiap ketaatan dan khidmatnya pada suami.

Tidak mudah untuk saya mengungkap semua ini, lebih payah untuk saya dan kalian merealitikan. Segalanya ini bukan mudah, perlu mujahadah yang luar biasa namun insyaALLAH suami adalah teman terbaik, andai mampu menjadikan ALLAH rujukan awal yang terbaik. Segala-galanya kerana ALLAH.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...